life is peachy

life is peachy
time tide waits for no men

Saturday, March 19, 2011

Tsunami di tanah air sendiri, tanah airku Malaysia



Lori beras terbalik.

Orang ramai berpesta mengaut beras ‘percuma’ di Lebuhraya.

Pemandu lori yang parah mengerang dengan luka yang dihurung lalat meminta bantuan.

Kelindan lori terbiar hingga mati di tepi jalan.

Saya cuba untuk menghadam laporan kejadian lori beras terbalik di KM394 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Tanjung Malim bulan lalu. Apakah yang difikirkan oleh pengaut beras itu? Adakah mereka lebih miskin daripada penghuni pondok yang makan siput babi beberapa tahun lalu di siaran Bersamamu TV3? Jika tidak lama dulu orang ramai berkejaran mengutip duit syiling yang bertaburan akibat kemalangan di Lebuhraya yang sama, kali ini beras dikaut untuk habuan makan, membiarkan mangsa di tepi tanpa tindakan peri kemanusiaan.

Kebingungan.


Seperti ada satu ‘petanda besar, bagai ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan perilaku masyarakat kita kebelakangan ini.

11 Mac 2011, seluruh penduduk dunia terkejut.

Sesuatu yang tidak pernah dicatat oleh sejarah, Pantai Timur Laut Jepun dilanda gempa bumi paling dahsyat berukuran 8.9 pada skala Richter. Gegaran yang begitu dahsyat mengundang bencana yang paling menakutkan iaitu gelombang Tsunami. Tanpa berlengah, ombak setinggi 10 meter menghempas pantai dan menyapu segala yang berdiri di muka bumi, ‘tanpa belas kasihan’.

Tidak pasti apa yang mahu diungkap, selain berdoa agar kejadian itu tidak mengulangi penderitaan kesan Tsunami di Sumatera pada Disember 2004 yang lalu apabila lebih 200 ribu nyawa terbunuh di sekeliling pantai Lautan Hindi. Gelombang Tsunami kali ini menggoncang perairan Lautan Pasifik hingga melimpahkan kesannya ke perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia, serta Sabah dan Sarawak.

Subhanallah!

Beberapa kali menjejakkan kaki ke bumi Jepun, kenangan di bumi matahari terbit itu, menambah ‘rasa terkait’ dengan apa yang berlaku apabila gempa bumi dan Tsunami turut memusnahkan kawasan yang indah dan permai itu.

Namun kesedihan dan debar menyaksikan satu demi satu laporan berita di media, terpukul oleh beberapa siri laporan berita media tempatan yang membingungkan.

TAHAP KEPRIHATINAN KITA

Belum pun reda gegaran dan deruan ombak ganas Tsunami di Jepun, Buletin Utama di TV3 sudah berbincang tentang implikasi bencana besar di Jepun itu kepada pasaran saham di Tokyo serta akibatnya kepada kedudukan pasaran saham global termasuk Kuala Lumpur. Tanpa sensitiviti yang paling minima atas dasar kemanusiaan, Dato Mukhriz Tun Mahathir menyatakan harapannya agar Jepun segera memulihkan keadaan ekonomi serta pasaran sahamnya dan mudah-mudahan ia tidak berjangkit ke pasaran saham di negara kita.

Tatkala kenyataan rasmi Perdana Menteri tidak kedengaran, laporan ala kadar terhadap bencana luar biasa ini terus dihalakan pada soal ekonomi. Bukan ekonomi Jepun, tetapi kepentingan negara kita, rakan niaga tradisi negara matahari terbit itu!

Mulia sungguh hati rakan ini.

Apa sudah terjadi?

KOSMO! AHAD



Menyelak akhbar di pagi Ahad, sekali lagi kita kebingungan.

Kosmo Ahad 13 Mac 2011 di halaman 3, menyiarkan berita Ratu Pornografi Jepun, Maria Ozawa terselamat daripada malapetaka gempa bumi dan Tsunami itu.

Dalam ramai-ramai tokoh daripada kalangan rakyat Jepun, Miyabi pula yang jadi pilihan.

Bimbang benar dengan kehilangan ikon penting ini.



Diselak pula akhbar Berita Minggu 13 Mac 2011 di halaman 24, kartunis Zoy melukis kartun Ultraman yang lari bertempiaran dikejar ombak Tsunami gergasi 11 Mac lalu. Entah apa yang cuba diterjemahkan melalui lakaran itu, ia pantas melahirkan betapa rendahnya moral kita hingga kejadian bencana sedahsyat itu, dilakar sebagai bahan senda gurau tanpa sedikit pun mempertimbangkan perasaan sekalian manusia, Jepun atau tidak Jepunnya mereka, berkenaan jurnalisma terencat jiwa ini.

Apakah semua ini?

Neo-journalism versi apakah ini?

Paling mengaibkan, lakaran kartun yang sangat tidak sensitif ini telah disiarkan di CNN iReport iaitu cabang citizen journalism milik CNN.



Berita yang disiarkan itu menyebut:

iReport —

Local Malaysian newspaper Berita Harian published a caricature in their editor’s column today that depicts the popular Japanese cartoon character Ultraman as trying to outrun an incoming tsunami.

The publication has received tremendous criticisms by readers, who accuse the editors as being “inconsiderate and distasteful”. Several political leaders have even stepped out and demand a public apology, to which the editors promptly made on their publication’s Facebook fan page. – posted by Dancingtiger

Mungkin media perdana sama ada di arena siar atau cetak, tidak mampu menyesuaikan diri dengan era jaringan sosial semasa yang semakin menidakkan kuasa veto mereka membentuk pendapat umum.

Dalam tempoh yang begitu singkat, sesuatu yang menggambarkan kejengkelen kartunis, serta kecuaian editorial, telah menjatuhkan maruah negara. Bagaimana kalau berita ini mengusik sentimen pelabur Jepun dan antarabangsa? Inginkah hukuman setimpal itu atas sikap rakan niaga yang tidak berhati perut?

SI LUNCAI TERJUN DENGAN LABU-LABUNYA!

Bencana itu sudah tiba di Jepun!
Tak apa. Kita kan di Malaysia…

Bencana itu sudah tiba di Johor!
Tak apa. Kita kan di Selangor…

Bencana itu sudah tiba di Gombak!
Tak apa. Kita kan di Petaling Jaya…

Bencana itu sudah tiba di Seksyen 5!
Tak apa. Kita kan di Seksyen 2…

Bencana itu sudah tiba di Jalan 2/4!
Tak apa. Kita kan di Jalan 2/8…

Bencana itu sudah tiba di rumah nombor 47!
Tak apa. Kita kan di rumah nombor 74…

Bahagian depan rumah kita sudah runtuh!
Syukur. Dapur kita masih selamat…

Memperkenalkan… mazhab Aku Tidak Pedulisma!

WASIAT NUH ALAYHI AL-SALAAM

Sebagai penutup, renungilah wasiat Nabi Nuh Alayhi as-Salaam kepada anak-anaknya yang beriman sebelum Baginda wafat pulang kepada Allah.

Imam Ahmad dan al-Bayhaqi telah meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-’Aas Radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Suatu ketika kami sedang bersama-sama dengan Rasulullah SAW. Kemudian datang seorang lelaki dari pedalaman yang memakai jubah besar berwarna hijau (Seehan) dan dihiasi dengan sutera. Lalu Rasulullah SAW berkata:

“Sesungguhnya sahabat kamu ini telah meninggalkan setiap pahlawan berkuda anak pahlawan berkuda serta mengangkat setiap pengembala anak pengembala! (Pakaian yang melambangkan keangkuhan pemakainya)” Lalu Baginda SAW memegang jubah lelaki tersebut dan berkata kepadanya “Aku melihat engkau memakai pakaian orang yang tidak berakal!” Kemudian Rasulullah SAW berkata lagi “Sesungguhnya Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam ketika nazak menghadapi kematian, beliau berkata kepada anaknya:

“Sesungguhnya aku mahu meninggalkan wasiat kepada kamu. Aku perintahkan kepada kamu dua perkara dan aku tegah kamu daripada dua perkara. Aku perintahkan kamu dengan Laa Ilaaha IllaLlaah. Sesungguhnya jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di suatu timbangan dan Laa Ilaaha IllaLlaah diletakkan di suatu timbangan yang lain, nescaya Laa Ilaaha IllaLlaah itu lebih berat. Seandainya tujuh petala langit dan bumi itu suatu rangkaian yang samar dan rapuh, ia terjalin kukuh dan kemas dengan Laa Ilaaha IllaLlaah.

Aku juga memerintahkan kamu dengan Tasbih dan Takbir. Sesungguhnya dengan demikian terhasil kesejahteraan setiap sesuatu dan dengannya jua makhluk dikurniakan rezeki.

Aku tegah kamu dari Syirik dan Kibr (takabbur)”

Sahabat bertanya, Ya Rasulallah, sesungguhnya Syirik itu telah kami arif mengenainya. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan Kibr? Adakah menjadi Kibr jika seseorang itu memakai sepasang kasut yang baik dengan talinya yang baik?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Kata Sahabat berkenaan, atau apakah dengan seseorang itu mempunyai perhiasan dan beliau memakainya (lalu dianggap Kibr)?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Kata Sahabat berkenaan lagi, atau apakah seseorang itu mempunyai haiwan tunggangan dan beliau menunggangnya (lalu dianggap Kibr)?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Kata Sahabat tersebut, atau adakah jika sesiapa di kalangan kami mempunyai ramai teman dan beliau duduk bersama mereka (lalu dianggap Kibr)?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Lalu Sahabat tersebut bertanya, kalaulah begitu ya Rasulallah, maka apakah sebenarnya Kibr itu?

Nabi SAW menjawab, “Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!“

[Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam al-Musnad 2: 169, 170, 225. Dan oleh al-Bayhaqi di dalam al-Asmaa' wa as-Sifaat: 79]

“Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!”

Inilah pesanan Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam kepada anaknya sebelum wafat. Dan kita ini semua adalah cucu cicitnya Baginda. Terimalah nasihat ini sebagai peringatan.

Sesungguhnya Tauhid dan Kalimah Tauhid adalah sebesar-besar perkara di dalam hidup ini. Menjadikan ia sebagai fokus diri, dan seterusnya disempurnakan pula dengan Takbir membesarkan Allah dan Tasbih mensucikanNya pada lisan dan perbuatan. Syirik yang muncul dengan pelbagai versi di dalam kehidupan kita hari ini bersama perbuatan angkuh, bongkak, takabbur atau Kibr itu pula hendaklah dijauhi. Sesungguhnya Syirik dan takabbur itu telah menjadi syiar dan cara hidup ramai manusia pada hari ini.

SALAH SIAPA

Habis, salah siapa semua itu?

Mahu dikata salah kerajaan, ia kerajaan pilihan rakyat.

Mahu dikata salah rakyat, siapakah pendidik-pendidik rakyat itu?

Nampaknya ia salah saya.

Salah pendakwah yang belum cukup kuat berusaha.

Bukankah setiap makhluk yang bernama manusia itu adalah khalifah di bumi Allah ini?

Kewajipan semua untuk berdakwah bukan?

Justeru saya telah, sedang dan akan terus berusaha.

Saya sudah mendapat satu lagi tugasan.

Anda cukup dengan menonton sahaja?



“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada satu kaum itu sehingga mereka bertindak mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” [Al-Ra'd 13: 11]

Salam takziah dari saya untuk akal dan budi tamadun manusia.

” Apakah penduduk negeri itu merasakan aman dari bala Allah pada waktu malam ketika mereka sedang tidur. Apakah penduduk negeri itu merasa aman dari bala Allah pada waktu pagi sedang mereka bermain atau bekerja. Apakah mereka merasa aman dari azab Allah(jadi mereka boleh hidup berseronok hingga melanggar hukum Allah). Tidaklah yang merasa aman dari azab Allah melainkan orang yang rugi.” (Al-A’raaf 98-99)

Saturday, May 8, 2010

Sungai di dasar laut - Merupakan bukti kebenaran Al-Quran




Maha Suci Allah yang Maha Menciptakan

Sungai dalam Laut



Akan Kami perlihatkan secepatnya kepada mereka kelak, bukti-bukti kebenaran Kami di segenap penjuru dunia ini dan pada diri mereka sendiri, sampai terang kepada mereka, bahwa al-Quran ini suatu kebenaran. Belumkah cukup bahwa Tuhan engkau itu menyaksikan segala sesuatu.” ( Fushshilat : 53)


Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan), yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit, dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi.” (Al Furqan : 53)





Jika anda termasuk orang yang gemar menonton rancangan TV `Discovery’ pasti kenal Mr. Jacques Yves Costeau , beliau seorang ahli oceanografer dan ahli selam terkemuka dari Perancis. Orang tua yang berambut putih ini sepanjang hidupnya menyelam ke pelbagai dasar samudera diseantero dunia dan membuat filem dokumentari tentang keindahan alam dasar laut untuk ditonton di seluruh dunia.



Pada suatu hari ketika sedang melakukan eksplorasi di bawah laut, tiba-tiba beliau menemui beberapa kumpulan mata air tawar-segar yang sangat sedap rasanya kerana tidak bercampur/tidak melebur dengan air laut yang masin di sekelilingnya, seolah-olah ada dinding atau membran yang membatasi keduanya.






Fenomena ganjil itu memeningkan Mr. Costeau dan mendorongnya untuk mencari penyebab terpisahnya air tawar dari air masin di tengah-tengah lautan. Beliau mulai berfikir, jangan-jangan itu hanya halusinasi atau khalayan sewaktu menyelam. Waktu pun terus berlalu setelah kejadian tersebut, namun beliau tak kunjung mendapatkan jawapan yang memuaskan tentang fenomena ganjil tersebut.




Sampai pada suatu hari beliau bertemu dengan seorang profesor Muslim, kemudian beliau pun menceritakan fenomena ganjil itu. Profesor itu teringat pada ayat Al Quran tentang bertemunya dua lautan (surat Ar-Rahman ayat 19-20) yang sering dikaitkan dengan Terusan Suez . Ayat itu berbunyi “Marajal bahraini yaltaqiyaan, bainahumaa barzakhun laa yabghiyaan.. .” Ertinya: “Dia biarkan dua lautan bertemu, di antara keduanya ada batas yang tidak boleh ditembus.” Kemudian dibacakan surat Al Furqan ayat 53 di atas.


Selain itu, dalam beberapa kitab tafsir, ayat tentang bertemunya dua lautan tapi tidak bercampur airnya diertikan sebagai lokasi muara sungai, di mana terjadi pertemuan antara air tawar dari sungai dan air masin dari laut. Namun tafsir itu tidak menjelaskan ayat berikutnya dari surat Ar-Rahman ayat 22 yang berbunyi “Yakhruju minhuma lu’lu`u wal marjaan” ertinya “Keluar dari keduanya mutiara dan marjan.” Padahal di muara sungai tidak ditemukan mutiara.



Terpesonalah Mr. Costeau mendengar ayat-ayat Al Qur’an itu, melebihi kekagumannya melihat keajaiban pemandangan yang pernah dilihatnya di lautan yang dalam. Al Qur’an ini mustahil disusun oleh Muhammad yang hidup di abad ke tujuh, suatu zaman saat belum ada peralatan selam yang canggih untuk mencapai lokasi yang jauh terpencil di kedalaman samudera. Benar-benar suatu mukjizat, berita tentang fenomena ganjil 14 abad yang silam



Akhirnya terbukti pada abad 20, Mr. Costeau pun berkata bahawa Al Qur’an memang sesungguhnya kitab suci yang berisi firman Allah, yang seluruh kandungannya mutlak benar. Dengan seketika dia pun memeluk Islam.


BALIK AWAL


- gambar hiasan


Suatu hari seorang ibu hairan apabila anaknya pulang awal
dari sekolah tidak seperti biasa

Ibu : "Adli kenapa kamu pulang awal
hari ini sedangkan jam baru pukul 10.00 pagi.."

Adli : "Ooo.. tadi Adli boleh jawab soalan cikgu dengan tepat..
lalu dia suruh pulang..."

Ibu : "Oooo... bagus.. pandai anak ibu... apa soalan dari
cikgu kamu itu?"

Adli : "Cikgu tanya... SIAPA YANG MEMBALING KASUT KE
MUKA CIKGU ?"

Tuesday, May 4, 2010

Ramainya umat islam.. tetapi

Salam semua, kali ni saya tertarik dengan apa yang sedang rancak berlaku di kalangan kita. Umat Islam memang sudah ramai, tetapi dimanakah mereka? Dimanakah sambungannya perjuangan Nabi terdahulu? Ulama-ulama terdahulu? Adakah ianya terkubur dek kemewahan dunia semata? Atau Islam hanya pada nama tetapi hakikatnya tidak dalam jiwa mereka? Benarlah sabda Nabi Muhammad s.a.w, :

عن ثوبان رضي الله عنه قال قال رسول الله صلي الله عليه والسلام :يوشك الامم ان تداعي عليكم كما تداعي الاكاله الي قصعتها ,فقال قائل :ومن قله يومئز كثير ولكنكم غثاْ كغثأ السيل وليزعن الله من صدور عدوكم المهابه منكم وليقدفن الله في قلوبكم الوهن فقال قا~ل : يا رسول الله وما الوهن ؟قال : حب الدنيا وكراهيه الموت .

Ertinya:
Daripada tsauban r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : Hampir tiba suatu masa dimana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang menggerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan menggerumuni talam hidangan mereka." Maka salah seorang sahabat bertanya,"Apakah dari kami sedikit pada hari itu?," Nabi s.a.w menjawab, bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih diwaktu banjir dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan mempercampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan' Seorang sahabat bertanya "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi kita menjawab ,"Cinta pada dunia dan takut pada mati"

Umat Islam pada hari ini telah menggambarkan apa yang disabdakan oleh Nabi kita, umat Islam walaupun sudah menjangkau kini bilangan yang tidak dapat dihitung iaitu lebih 1,000,000 juta (1/5 penduduk dunia) tetapi mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain, lihatlah apa yang telah terjadi di Iraq ,dan negara-negara Islam yang ditindas ditanah air sendiri dan Palestin hingga kini yang masih merangkak mencari jalan penyelesaian. Mereka dibunuh dinjak-injak, disakiti dan sebagainya. Dimanakah kekuatan umat Islam yang dahulunya berkobar-kobar melawan bangsa kafir durjana? Dan dimanakah mereka yang ramai itu?

Sekali lagi saya ingin bertanya, dimanakah mereka? Adakah mereka sudah menjadi buih? Apakah itu buih? Buih adalah apa yang dimaksudkan dari sabda Nabi s.a.w, memang ramai sungguh umat Islam zaman sekarang, tetapi yang ada benar-benar ada cahaya iman dalam hatinya hanya segelintir dan selebihnya kebanyakan islam pada nama,mengapa semua ni berlaku,sudah juga dijelaskan dalam sabda Nabi tadi,kerana Allah telah mencampakkan satu jenis penyakit dalam hati umat islam iaitu penyakit wahan atau hubbu dunia wa karahiahmaut yakni cinta dunia dan takut mati.

Sebenarnya, segala kekalahan kaum muslimin adalah berpunca dari dalam diri kaum muslimin itu sendiri, iaitu penyakit wahan yang merupakan penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalam bentuk kembar dua iaitu cinta dunia dan takut mati. Penyakit cinta dunia bermaksud tamak, rakus, bakhil dan tidak mahu mendermakan harta dijalan Allah. Faham kan maksudnya?

Penyakit takut mati pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat sebarang persiapan untuk ke negara yang abadi. Malah kita tidak tahu di negara mana kita akan tinggal? Adakah negara yang aman sentosa dan penuh dengan kesejahteraan atau negara yang kacau bilau yang penuh dengan penderitaan. Tidak mahu kah kita bersedia mengahadapi sebarang kemungkinan kelak?

Bangkitlah wahai umat Islam!! Jadiklah orang yang ada cahaya iman dalam hatinya, dan bukan antara yang menjadi buih!!

H.A.T.I

Masinnya air laut tidak mampu menyerap ke dalam isi ikan, tapi bila ikan itu telah mati..secubit garam mampu memasinkannya.. Bagitulah hati, hati yang hidup sangat sukar dinodai.. tapi bila hati telah mati mudahnya dipengaruhi.. Moga Allah sentiasa memelihara hati kita.. Hati yang dipilih Allah untuk mendapat hidayahNya sudah tentu hati yang menyesali akan Dosa-Dosanya.

Kata-kata yang lembut dapat melembutkan hati yang lebih keras dari batu. Tetapi kata-kata yang kasar dapat mengasarkan hati yang lunak seperti sutera. Lidah yang panjangnya tiga inci boleh membunuh manusia yang tingginya enam kaki. Agama tidak pernah mengecewakan manusia. Tetapi manusia yang selalu mengecewakan agama.


Wallahua'alam

Tuesday, April 27, 2010

Lagi Perihal Solat

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.


Prof Dr Wan Abu Bakar bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok dengan buku mengenai rahsia solat dari segi sains.




Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.

Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

"Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,"katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenal pasti otot yang aktif ketika solat.



Ng Siew Chok - Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

"Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang," katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

"Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,"katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.




Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

"Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,� katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasullullah bersabda: Sesungguhnya solat berjemaah adalah 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian. (Riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim).

"Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,"katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

"Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,"katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

"Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,"katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

"Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.





p/s: kagum betul eden lepas tengok rancangan al-kuliyah yang berkenaan solat sains.. hampir semua ape yang diatas ni dibincangkan ...

PadaMu Selamanya

Sejenak .. ku imbasi kembali
Erti pelayaran usiaku
Ke timur ke barat
Dunia akhirat
Segalanya ..

Di tengah hangatnya kejahilan
Membakar hangus keimanan
Dan aku hanyut
Tiada berpaut
Layu sudah pedoman diriku

Kini bersendiri
Ku meniti hari
Ke kanan ke kiri
Ku menilai kembali

Jalan ku lalui
Dosa yang telah pergi
Walau tanpa ku sedari
Air mata membasahi

Terasakan ... terbuka
Kunci pintu hatiku
Timbullah ketenangan di jiwa yang keliru
Terurai kekusutan
Membaralah cinta
MilikMu Yang Esa
Selamanya...

PadaMu selamanya ..
Selamanya...



- Ya Allah, penuhkanlah aku dengan iman, dan peliharakanlah hidupku, waktu matiku dan selepas matiku. Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menyerahkan imanku, dan hidupku, disisi matiku, selepas matiku, maka jagalah akannya atasku, sesungguhnya Engkau Maha berkuasa atas tiap-tiap sesuatu -